Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Mohamad Ezam Mohd Nor, diminta memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Kuala Lumpur, esok berhubung dakwaannya ada dokumen rasmi kerajaan disimpan di luar negara. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bandaraya, Senior Asisten Komisioner II Mat Zain Ibrahim, mengesahkan perkara itu. "Polis menelefon Mohamad Ezam hari ini bagi meminta kerjasamanya memberi keterangan dalam siasatan berhubung perkara itu di IPPK Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah, esok," katanya.
Mohamad Ezam yang juga bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ceramahnya di Kampung Gajah, Ipoh, pada 12 Ogos lalu, mendakwa Anwar dan penyokongnya menyimpan lima atau enam kotak dokumen rahsia kerajaan di luar negara. Pendedahan Mohamad Ezam menyebabkan pelbagai pihak meminta tindakan tegas diambil terhadap Anwar, mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA). Polis memulakan siasatan terhadap kes itu selepas Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Zulkifli Mohd Alwi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Sabtu lalu.
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Pemuda Keadilan, Muhammad Zahid Md Arip, dalam satu kenyataannya mendakwa, Mohamad Ezam menerima notis mengkehendakinya hadir di IPPK Kuala Lumpur bagi memberi keterangan berhubung kes itu mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah. Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah antara lain menyebut, seorang pegawai polis yang menjalankan penyiasatan, dengan arahan bertulis, boleh memanggil mana-mana orang yang tinggal dalam kawasan daerah polis di mana penyiasatan itu dijalankan untuk memberi maklumat. Jika enggan, pegawai polis itu boleh melaporkan kepada majistret yang boleh mengikut budi bicaranya mengeluarkan waran supaya orang itu hadir sebagaimana yang diarahkan.
Bagaimanapun, Mat Zain menafikan polis mengeluarkan notis mengikut seksyen berkenaan. "Kita hanya menelefonnya dan memintanya supaya hadir (di IPPK Kuala Lumpur). Mengikut prosedur biasa, kita hanya akan mengeluarkan notis itu kepada seseorang jika dia gagal untuk memberikan keterangan selepas dua kali dipanggil," katanya. Sebelum ini Mohamad Ezam dilaporkan sebagai berkata, beliau tidak akan bekerjasama dengan polis bagi menyiasat kes menyimpan sekurang-kurangnya enam kotak dokumen rasmi kerajaan di luar negara. Sebaliknya, Ketua Pemuda Keadilan itu berkata, beliau akan hanya memberi keterangan apabila mendapati polis berlaku adil termasuk menyiasat laporan polis dibuatnya 8 Mei lalu mengenai tuduhan rasuah membabitkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz.
Mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967, seseorang yang didapati bersalah kerana menghalang tugas polis boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita antarabangsa, Reuters hari ini melaporkan Muhammad Zahid sebagai berkata, Mohamad Ezam akan mengadakan sidang akhbar selepas memberi keterangannya kepada polis.