Penggunaan Internet perlu pengawasan

Oleh: MOHD. ANNUAR ZAINI

KEPESATAN pembangunan negara dan kecanggihan teknologi moden masa kini
memberi banyak ruang untuk pembangunan teknologi maklumat.

Ketika ini, kita mempunyai sekurang-kurangnya tiga saluran utama sumber maklumat:
media cetak yang merangkumi penerbitan majalah, surat khabar, risalah dan pelbagai
bahan cetak lain; media penyiaran yang merangkumi radio dan televisyen dan yang
terbaru media 'siber' yang merangkumi saluran Internet.

Ketiga-tiga saluran utama ini menyediakan ruang yang memberikan kebebasan
bersuara kepada rakyat di sesuai dengan peruntukan Perkara 10 Perlembagaan
Malaysia.

Untuk memastikan hak kebebasan bersuara itu tidak disalahgunakan, pelbagai
perundangan digubal bagi mengawasi operasi media cetak dan media penyiaran di
negara kita, bertujuan memastikan bahan maklumat yang disampaikan melalui media
cetak dan media penyiaran itu dilaksanakan dengan bertanggungjawab. Untuk
menjamin media cetak dan media penyiaran mengamalkan sikap bertanggungjawab
dalam melapor atau menyiar sesuatu berita, Parlimen telah meluluskan undang-undang
seperti Akta Rahsia Rasmi, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Penyiaran, Akta
Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta pelbagai undang-undang lain.

Melalui perundangan-perundangan tersebut penerbit serta pengarang perlu
mengamalkan sikap tanggungjawab serta beretika semasa menerbitkan atau
menyiarkan sesuatu maklumat untuk tatapan umum.

Di samping itu, media cetak dan media penyiaran juga perlu menghormati dan
berhati-hati dari segi perundangan sivil, yang membolehkan penerbit atau pengarang
dikenakan tindakan sivil oleh mana-mana organisasi mahupun orang perseorangan
sekiranya berlaku keterlanjuran semasa menerbit atau menyiarkan sesuatu berita.
Perundangan-perundangan yang berkuat kuasa ini dapat menjaminkan bahawa
bahan-bahan penerbitan atau penyiaran yang diterbitkan atau disiarkan adalah tepat,
sahih dan diteliti dengan penuh tanggungjawab oleh penerbit atau pengarang.

Negara kita yang sedang pesat membangun kini melangkah ke era 'siber'. Saluran
Internet telah diperkenalkan sebagai satu alternatif kepada sumber maklumat yang
dahulunya dimonopoli oleh media cetak dan penyiaran. Internet dikenal pasti oleh
generasi muda sebagai satu saluran yang mudah, murah serta terkini. Setiap pengguna
atau pelawat ke laman-laman 'web' yang melingkari teknologi tiada batasan ini akan
dapat menikmati maklumat terkini sambil menyumbang secara langsung bahan-bahan
mereka sendiri untuk penyebaran menerusi saluran yang sama.

Saluran Internet yang membuka ruang penyebaran maklumat yang begitu luas dan
bebas terbukti kini turut dipergunakan sebagai saluran untuk menyebarkan
maklumat-maklumat yang sangat diragukan kesahihan atau ketepatannya. Internet
merupakan saluran yang ketika ini seolah-olah mempunyai satu kebebasan dari apa
jua klausa dan peruntukan perundangan untuk menapis sesuatu bahan sebelum
disebarkan. Justeru, saluran Internet sebagai perantaraan atau 'medium' yang tidak
mempunyai sebarang mekanisme tapisan amat terbuka kepada penyalahgunaan, baik
dari segi penyampaian maklumat palsu mahupun penyebaran fitnah, tuduhan tidak
berasas atau cerita-cerita sensasi yang dapat menarik minat pengguna mahupun
pelawat ke laman-laman web di Internet.

Keadaan ini memungkinkan saluran Internet dipersalahgunakan untuk kepentingan
sesiapa sahaja tanpa menghiraukan risiko sosial ataupun kerosakan yang boleh
dilakukan terhadap kestabilan politik atau ekonomi sesebuah negara malah boleh
sampai ke tahap yang dapat menjejaskan keselamatan negara. Ketiadaan sebarang
mekanisme sekatan dan pengawasan terhadap penyebaran maklumat menerusi saluran
Internet kini telah begitu dipersalahgunakan untuk menyebarkan berita palsu dan fitnah
yang boleh memesongkan pemikiran generasi kini dan akan datang.

Memang tidak dapat dinafikan saluran Internet mempunyai pelbagai kelebihan
berbanding media cetak dan media penyiaran. Dalam kita mengakui
kelebihan-kelebihan teknologi melalui saluran Internet kita juga harus mula memikirkan
kesan dan akibah dari penyalahgunaan teknologi tersebut. Apapun Internet kini telah
dikenal pasti oleh anggota masyarakat terutama generasi muda sebagai alternatif untuk
kononnya memperoleh berita-berita sebenar yang lebih 'autentik'. Persepsi tersebut
walaupun memberi satu kemenangan kepada pembekal maklumat di saluran Internet
tetapi sedang mengocak pembinaan budaya dan pembangunan mental terutamanya di
kalangan generasi muda.

Keadaan ini tentunya mewujudkan satu dilema, sama ada kita bersedia berpeluk
tubuh dan meredhakan pembentukan sebuah masyarakat yang persepsi dan pemikiran
mereka dipengaruhi dan diasaskan atas bahan palsu dan fitnah. Kini terdapat
perbezaan ketara di antara amalan media cetak serta media penyiaran yang
menghormati tanggungjawab sosial dan moral dalam penyiaran atau penerbitan
sesuatu maklumat berbanding dengan saluran Internet yang begitu bebas menyebarkan
maklumat tanpa sebarang pengawasan dan penapisan. Sangatlah aneh apabila bahan
berita yang disiarkan secara bertanggungjawab oleh media cetak dan media penyiaran
dianggap tidak credible sedangkan cerita-cerita serta maklumat sensasi serta panas
yang diperoleh melalui saluran Internet begitu mudah diterima kesahihannya.

Dari segi hakikatnya, bahan-bahan berita yang disiar dan diterbitkan melalui media
cetak dan media penyiaran yang lebih credible kandungannya dipersoalkan
kesahihannya hanya disebabkan mereka tidak bersedia memuatkan bahan-bahan
sensasi. Disebabkan sifat tanggungjawab tinggi yang menjadi amalan mereka,
kredibiliti mereka dipertikaikan lalu fikiran masyarakat diracuni untuk menolak
kebenaran. Di sebaliknya masyarakat digalakkan menerima fitnah betapa tidak tepat
sekali pun hanya kerana bahan maklumat tersebut disiarkan tanpa mematuhi dan
menghormati sebarang perundangan dan peraturan.

Adalah membahayakan apabila masyarakat kini mula disemai dengan budaya yang
mempercayai dan menerima bahan-bahan berita palsu sebagai sesuatu yang sahih dan
tepat tetapi menganggap sumber berita dari saluran yang bertanggungjawab sebagai
palsu.' Apatah lagi jika bahan-bahan yang disiarkan dalam laman-laman Internet itu
membawa cerita-cerita sensasi yang sealiran dengan fahaman atau ideologi seseorang
atau sesuatu gerakan. Disebabkan ketaksuban kepada sesuatu aliran pemikiran dan
fahaman, maka para pelawat ke laman-laman web di dalam Internet menelan
bulat-bulat segala isi kandungan dan bahan yang terkandung di dalamnya jika
bahan-bahan tersebut dianggap secocok dengan aliran pemikiran dan fahaman
mereka.

Keadaan ini jika dibiarkan berlarutan amatlah membimbangkan dari segi pengaruh
terhadap pembentukan budaya sebuah masyarakat berilmu yang sepatutnya diasaskan
kepada fakta dan kebenaran. Amatlah tidak sihat apabila masyarakat terutama
generasi muda dan remaja mula diracuni fikiran hingga menolak kebenaran
semata-mata kerana bahan berita tersebut disiarkan atau diterbitkan oleh media yang
mematuhi syarat-syarat perundangan tetapi tanpa ragu memamah apa juga bahan yang
dipaparkan dalam laman-laman web.

Bagaimanakah nanti rupa bentuk warga di negara kita di masa hadapan yang tidak lagi
berupaya membuat pertimbangan rasional berdasarkan ilmu dan fakta yang tepat dan
betul.

Apakah tanpa kita sedari kita sedang menggalakkan generasi muda kita berenang
dalam lautan fitnah dan kita bertanggungjawab menghanyutkan mereka dalam arus
fitnah itu. Adakah kita senang melihat kebangkitan satu barisan generasi muda yang
mempunyai prasangka kepada kenyataan dan kebenaran tetapi menerima dengan
senang bahan-bahan fitnah dan kepalsuan.

Langkah-langkah pembetulan yang berkesan perlu dilaksanakan segera untuk
membendung gejala kurang sihat disebabkan penyalahgunaan perkembangan
teknologi komunikasi kini. Adalah penting diberikan perhatian supaya warga di negara
ini tidak dibiarkan tenggelam dalam gelombang fitnah.

Oleh itu didikan sempurna serta garis panduan harus diberikan terutama sekali kepada
generasi muda supaya mereka dapat membezakan di antara kebenaran dan
kepalsuan. Pemikiran generasi muda harus dipersiapkan supaya tidak mudah dikaburi
oleh bahan-bahan tidak bertapis atau berasas yang disebarkan tanpa batas menerusi
saluran Internet.

Ibu bapa dan masyarakat dewasa, para pendidik dan mahaguru, para ilmuan dan
ulama, malah setiap warga yang memiliki kesedaran bertanggungjawab untuk
membimbing generasi muda kita supaya mempunyai keupayaan membezakan antara
kebenaran dan kepalsuan.

Kealpaan masyarakat terhadap risiko membiarkan gejala tidak sihat di Internet
berterusan hanya akan merugikan masyarakat serta negara. Dikhuatiri masyarakat
berilmu dengan kekuatan mental yang cekal tidak dapat dibentuk. Apakah kita
sanggup meredhakan warganegara kita khususnya generasi muda kita dewasa dalam
budaya yang tidak bersandarkan fakta dan kenyataan? Sanggupkah kita membiarkan
mereka mempunyai prasangka terhadap kebenaran tetapi mudah menerima fitnah?
Nyatalah saluran Internet laksana senjata bermata dua - jika dipersalahgunakan boleh
membunuh diri sendiri. Oleh itu adalah penting untuk setiap warga disedarkan tentang
pentingnya memahami objektif secara rasional. Warga yang dikurniakan akal dan
fikiran tidak harus merelakan diri untuk dijadikan abdi kepada penyalahgunaan
teknologi komunikasi.